Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mat Zan Mat Aris, optimis pasukannya masih mempunyai peluang cerah untuk kembali beraksi dalam Liga Super musim depan.

Mat Zan mahu anak buahnya bekerja keras menundukkan UiTM malam ini dengan misi menjarakkan jurang kedudukan kedua-dua pasukan yang kini berkongsi 28 mata.

Selain meraih mata penuh di laman lawan, jurulatih itu turut mengharapkan keajaiban daripada Pulau Pinang menundukkan PDRM untuk merebut slot kedua untuk layak ke Liga Super 2020.

Sebelum ini, skuad Hobin Jang Hobin itu tewas 4-1 kepada The Lions di laman sendiri dalam perlawanan pertama, Februari lalu.

"Masih ada satu lagi slot ke Liga Super. Empat pasukan masih berpeluang untuk melangkah ke Liga Super dan misi kami bertemu UiTM adalah mencari kemenangan sementara mengharapkan Pulau Pinang mengatasi PDRM," katanya.

Sementara itu, kapten pasukan Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Nisbah, berharap semangat barisan pemain mampu meraih kemenangan dalam saingan terakhir musim ini.

"Peluang masih terbuka untuk ke Liga Super. Kami akan berharap segalanya berjalan lancar dan memihak kami," katanya.