Penyokong setia Kelantan mula resah apabila Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, mengesahkan wujudnya perbincangan empat mata di antara pihaknya dan ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, bagi mengisi kerusi panas skuad Warga Kota itu.

Namun, kebimbangan itu menjadi reda apabila Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, mengesahkan akan mengadakan perbincangan dengan pengendali kelahiran Perlis itu, Ahad ini.

"Kami akan bercakap dengannya (Yusri) tentang gaji dan sasaran persatuan pada musim depan memandangkan KAFA mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk kembali beraksi dalam Liga Super musim 2020.

"Walaupun KAFA berhasrat untuk mengekalkan Yusri sebagai ketua jurulatih TRW musim depan, namun kami risau tidak dapat memenuhi tuntutannya," katanya.

Ditanya kemungkinan rundingan itu berakhir dengan kekecewaan, Bibi Ramjani enggan mengulas, sebaliknya menaruh kepercayaan bahawa Yusri masih berminat untuk berkhidmat bersama TRW.

"Kami tunggu 12 November ini. Sebarang keputusan akan dibuat pada tarikh berkenaan.

"KAFA akan kemukakan tawaran dan terserah kepada Yusri untuk menerima atau sebaliknya," katanya.

Untuk rekod, bekas pengendali Felcra FC berkenaan diberikan kepercayaan sebagai jurulatih pasukan TRW apabila dua jurulatih import, Sathit Bensoh dari Thailand ,dipecat manakala Fajr Ibrahim dari Syria meletak jawatan pertengahan musim ini.

Yusri berjaya membawa pasukan bekas juara berganda 2012 itu mara suku akhir Piala Malaysia musim ini sebelum disingkirkan Sabah di Likas.