Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, tidak menolak kemungkinan Perlis boleh disingkirkan penyertaan dengan mengesahkan nasib pasukan itu akan ditentukan dalam mesyuarat ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) minggu depan.

Sebelum ini, MFL mengesahkan dua daripada tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji gagal menyerahkan dokumen kewangan pada tarikh akhir, Jumaat lalu.

Difahamkan, pasukan terbabit adalah Perlis dan PDRM FA walaupun kedua-dua pasukan itu tampil menafikan mereka gagal berbuat demikian semalam.

Namun, berdasarkan situasi semasa, Perlis tampak tidak berkemampuan untuk mengharungi saingan musim ini berbanding PDRM atau lima pasukan lain yang turut terbabit dalam kemelut tersebut.

"Ada beberapa pasukan dan salah satu daripada mereka akan dikeluarkan daripada liga. Itu salah satu dan mungkin akan dikenakan denda. Saya akan menjawab lebih lanjut selepas keputusan keluar kerana saya tidak mahu mengganggu proses penilaian itu," kata Hamidin.

Berdasarkan kes terdahulu, pasukan seperti Kuantan FA dan Terengganu City FC disekat daripada beraksi dalam Liga Malaysia ekoran isu tunggakan gaji yang serius.

"Tarikh akhir adalah pada 15 Februari (kelmarin). Saya telah menghubungi dan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam, semalam.

"Masih ada beberapa dokumen yang akan diproses dalam tempoh 48 jam. Saya memberitahu Kevin bahawa keputusan perlu dilakukan cepat. Ia akan dikeluarkan selepas mendapat perkenan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selaku pengerusi MFL."