"Ibarat mati hidup semula", itu perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan perjalanan karier Zamir Selamat selepas menyertai Pulau Pinang pada jendela perpindahan kedua lalu selain mahu membantu skuad Pulau Mutiara itu berada di kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Perdana.

Sejak awal musim ini, Zamir gagal memikat hati mana-mana pasukan selepas kontraknya tidak disambung Melaka sehingga dia mendapat perhatian skuad Harimau Kumbang itu bulan lalu.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu bertekad memberi komitmen dan tumpuan sepenuhnya untuk kejayaan pasukan setelah menyifatkan Pulau Pinang masih mampu memperbaiki kedudukan yang kini berada di tangga keenam dengan 20 mata.

Zamir bertekad membalas jasa Pulau Pinang selain tidak akan mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan tatkala karier bola sepaknya hampir terkubur.

"Ini merupakan permulaan baru dalam karier saya. Bukan senang untuk menghadapi tempoh sebelum ini tetapi saya bersyukur kini bersama skuad Pulau Pinang," katanya.

Penampilan keempat Zamir bersama skuad kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid itu Rabu lalu ternyata memberi kesan apabila ketangkasannya membantu Pulau Pinang mengekalkan keputusan positif.

"Keputusan dalam beberapa perlawanan sebelum ini semakin meningkat baik dan kami mahu meneruskannya dan sokongan daripada penyokong merupakan kelebihan buat kami," ujarnya.