Ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Mustaffa Kamal Abdul Wahab, mempertahankan pengambilan empat tonggak import selepas mengambil kira kekuatan pencabar lain, namun dalam masa sama tidak mahu mengetepikan pembangunan pemain muda negeri.

TFC II, yang sebelum ini dikenali dengan nama T-Team, pernah berura-ura mahu menggunakan dua sahaja pemain import tetapi pendirian itu berubah selepas kehadiran bekas penyerang UiTM, Akanni Sunday Wasiu, dan Negeri Sembilan, Bruno Suzuki, dengan penyertaan dua pemain kebangsaan Haiti, Sebastian Thuriere dan Andrew Jean Baptiste.

"Apabila kami menyasarkan kedudukan lima terbaik, kami memerlukan pemain-pemain yang kompetitif untuk bersaing sambil pemain-pemain muda boleh belajar daripada empat tenaga import yang ada.

"Setakat ini, semua pemain import menunjukkan kerjasama yang bagus," katanya.

Mustaffa yang mengendalikan skuad Piala Presiden Terengganu musim lalu juga memberi amaran kepada pencabar dalam Liga Perdana agar tidak memandang rendah kemampuan mereka selepas menyasarkan kedudukan lima terbaik bagi musim 2018.

"Kami mempunyai pemain-pemain senior seperti Mohamad Hasbullah Awang yang berusia 35 tahun dan Hassan Basri Ahmad Ridzuan (30) yang diharap mampu membawa pemain-pemain muda menjadi lebih matang bersama barisan pemain import," tambahnya.