Kelemahan barisan pertahanan disifatkan jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Mustaffa Kamal Abdul Wahab, sebagai punca pasukannya tewas 2-3 kepada UiTM FC dalam Liga Perdana, malam tadi.

Mengakui beraksi di bawah kemampuan sebenar, terutama dalam babak pertama, Mustaffa juga melihat banyak kelemahan ketara ditunjukkan TFC II yang masih mencari kemenangan pertama.

Dua aksi selepas ini bertemu UKM dan Felda United bakal menjadi pengukur tahap sebenar mereka dan Mustaffa berdepan tugas berat mengembalikan semangat skuad kendaliannya.

“Kami dibolosi dengan dua gol mudah, malah benteng pertahanan begitu mudah ditewaskan pemain lawan.

“Tidak dinafikan kekalahan ini semakin memberi tekanan. Tetapi selagi diberi kepercayaan, saya akan memperkemaskan pasukan ini dalam perlawanan akan datang,” ujarnya.

TFC II mengalami kekalahan ketiga musim ini, dengan dua kali menyamakan kedudukan menerusi Akanni Sunday Wasiu belum memadai untuk menutup kepincangan pertahanan mereka.

Gandingan kapten, Mohd Hasbullah Awang, dan Andrew Anderson seolah-olah gagal mengetuai kubu, dengan Bakary Dao serta Lucas Ramon Pugh muncul penjaring UiTM FC.