Selepas gagal meledak jaringan dalam aksi sulung menentang Selangor United, penyerang import Kelantan kelahiran Afghanistan, Mustafa Zazai, berjanji akan mencari gol pertamanya dalam aksi Liga Perdana menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini.

Penyerang berusia 26 tahun itu, yang mempunyai pengalaman luas beraksi dalam Liga Eropah dan Asia, jelas kecewa dalam aksi pertama di Selayang apabila segala percubaan ke arah gawang dinafikan penjaga gol lawan yang beraksi cemerlang.

"Rezeki untuk menang tidak berpihak kepada kami biarpun menguasai permainan, terutama dalam babak pertama.

"Sedikit kesilapan di bahagian tengah, kami dihukum dengan serangan balas pantas pihak lawan.

"Itulah bola sepak dan dalam perlawanan pertama, semua pemain begitu dahagakan aksi untuk memberikan persembahan terbaik," ujarnya.

Mustafa yang bergandingan dengan penyerang utama, Raul Andres Tarragona, dikeluarkan dalam separuh masa kedua dan digantikan dengan penyerang tempatan, Fauzi Roslan.

"Saya terkilan gagal menamatkan aksi 90 minit permainan," tambah Mustafa.

"Saya mahu mencari gol pertama dalam Liga Perdana.

"Insya-Allah, kami mampu bangkit dan menang di gelanggang sendiri."