Ada dua misi yang ingin dicapai penyerang import kelahiran Afghanistan, Mustafa Zazai, dalam aksi ketiga Liga Perdana menentang UKM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

Mustafa, yang mempunyai pengalaman luas beraksi dalam Liga Eropah dan Asia, mahu membantu The Red Warriors (TRW) pulang ke Kota Bharu dengan tiga mata selain mencetak nama sebagai penjaring.

"Rezeki untuk menang dan dapat tiga mata masih belum ada selepas mengharungi dua perlawanan liga.

"Berdepan Sabah, kami bermula dengan baik apabila dua kali mendahului pasukan pelawat tetapi terpaksa akur dengan satu mata.

"Insya-Allah dengan UKM, kami cukup bersedia dan mengharungi sesi latihan yang baik," katanya.

Mustafa yang bergandingan dengan penyerang utama, Raul Andres Tarragona, menerima pujian penonton menerusi larian solo lincah yang berjaya menewaskan pertahanan Sabah sehingga mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan pemain import, Flavio Beck Junior, pada minit keenam.

"Saya mahu mengulangi aksi terbaik di Kota Bharu," tambah Mustafa.

"Saya mahu mencari kemenangan pertama dan jaringan sulung untuk TRW.

"Dengan sokongan padu penyokong setia, tiga mata pasti menjadi milik Kelantan."