Baru-baru ini, skuad Liga Perdana PDRM telah menggantikan pemain import dari Ivory Coast, Frederic Pooda, dengan pemain tengah Singapura, Yasir Hanapi.

Bagi ketua jurulatih PDRM, Fauzi Pilus, kehadiran Yasir diharapkan mampu memberikan suntikan semangat kepada pasukan, terutama bahagian tengah, yang tampak kurang menyengat musim ini.

Kebolehan bekas pemain Tampines Rovers itu untuk bermain di sayap kanan membuatkan Fauzi tertarik dengannya, selain mudah membentuk persefahaman dengan seorang lagi pemain Singapura, Safuwan Baharuddin.

Pengalaman bersama Lions XII ketika saingan Liga Malaysia 2012 juga memberi kelebihan buat Yasir untuk dipilih menganggotai bekas juara Liga Perdana 2014 itu.

“Apa yang menjadi keutamaan adalah keserasian yang dapat dibentuk bersama Safuwan kerana kami memiliki masa yang sangat singkat,” kata Fauzi.

PDRM gagal mendapat tempat dalam saingan Piala Malaysia musim ini, sekaligus membuatkan Fauzi menuntut anak-anak buahnya untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam baki perlawanan Liga Perdana.

Fauzi yakin kedudukan dua teratas mampu diraih jika semua pemain konsisten dalam setiap perlawanan.

“Insya-Allah, jika kami dapat mengekalkan momentum seperti dalam perlawanan terakhir, saya optimis dapat menamatkan saingan dengan kedudukan yang lebih baik," ujar Fauzi.