Kapten Felcra FC, Shahrom Kalam, menyifatkan aksi berdepan MISC-MIFA dalam Liga Perdana esok ibarat final yang akan menentukan peluang untuk mara ke Liga Super musim depan.

Bagi bekas pertahanan kebangsaan itu, jurang mata yang begitu rapat di antara Felcra, MISC-MIFA dan PDRM dalam perebutan tempat kedua membuatkan aksi esok sebagai perlawanan wajib dimenangi pasukannya.

Shahrom percaya setiap pemain menyedari tanggungjawab mereka untuk memastikan tiga mata mampu dikecapi.

Shahrom juga menyarankan rakan sepasukan untuk tidak mensia-siakan peluang ke Liga Super selepas mereka berusaha keras untuk menghuni tangga kedua liga selepas 14 perlawanan.

"Ini seperti perlawanan akhir bagi Felcra. Kami memerlukan tiga mata dan meningkatkan peluang beraksi dalam Liga Super," katanya.

Nada sama turut dilontarkan pengendali Felcra, Tarcisio Pugliese, untuk aksi berdepan MISC-MIFA, dengan pengendali kelahiran Brazil itu menghormati skuad kendalian K. Devan itu, namun percaya pasukannya kini di tahap terbaik untuk merakam kemenangan.

Fecra kini di tangga kedua dengan 25 mata, terpisah hanya menerusi jaringan dengan PDRM di tangga ketiga manakala MISC-MIFA keempat dengan 23 mata.

"Perlawanan yang sukar, kami menyedari MISC-MIFA memiliki barisan pemain yang berkualiti. Kami sudah bersedia dan perlu memenangi perlawanan ini," kata Pugliese.

Imej: Asiana