TFC II 1 MISC-MIFA 2

MISC-MIFA bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menang 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) II di Kuala Terengganu, sebentar tadi, sekali gus mengesahkan penyingkiran lawan dari Liga Perdana, musim depan.


Untuk slot ke Liga Super 2019, Felcra FC akan mengiringi juara, Felda United, selepas menundukkan Sarawak 2-0 di Stadium Shah Alam untuk mengesahkan status selaku naib juara Liga Perdana 2018.

DI Kuala Terengganu, kekalahan itu melenyapkan perjuangan TFC II tatkala Pulau Pinang meraih satu mata berharga ketika bertemu Felda United dalam aksi berasingan untuk menyelamatkan skuad Harimau Kumbang itu.

Menyedari hanya kemenangan besar mampu menghidupkan misi mereka, tonggak tuan rumah, Bruno Junichi Suzuki, hadir menerusi percubaan jarak jauh seawal minit keempat.

Seminit kemudian, MISC-MIFA yang dibimbing K. Devan, hampir mengejutkan TFC II, namun rembatan leret Seydi L'Imam di dalam kotak penalti dinafikan penjaga gol tuan rumah, Amierul Hakimi Awang, sebelum penjaga gol, Mohd Muhaimin Mohamad, mudah menangkap sepakan tonggak import tuan rumah, Andrew Jean-Baptiste, pada minit ke-37.

Berikutnya, giliran pertahanan kiri pelawat, Mohamad Zamri Pin Ramli, mencemaskan kem tuan rumah, malangnya peluang pada minit ke-41 itu tepat ke arah Amierul Hakimi untuk membawa kedudukan 0-0 ke bilik persalinan.

Selepas rehat, TFC mendahului pada minit ke-57 melalui Akanni Sunday Wasiu yang menolak masuk bola hantaran Sebastian Thurier tetapi kegembiraan mereka tidak bertahan lama.

Kurang seminit selepas itu, gerakan solo L'Imam dari sebelah kiri melepasi empat pertahanan tuan rumah sebelum mengelirukan Amierul Hakimi untuk menyamakan kedudukan 1-1 tetapi rembatan lencong Mohammad Haidhir Suhaini pada minit ke-62 gagal memberikan gol kedua buat pasukannya.

Pemain import MISC-MIFA, Kpah Sean Sherman, kemudian menyaksikan tindakan penyudahnya diselamatkan Mohd Hasbullah Awang di atas garisan gol pada minit ke-64, namun tidak mensia-siakan peluang berikutnya apabila menyambar umpanan L'Imam untuk meletakkan MISC-MIFA 2-1 di depan ketika aksi berbaki 15 minit dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat.

Sekadar mengutip 17 mata, TFC II terpaksa menerima hakikat beraksi dalam Liga FAM bagi saingan musim 2019 manakala Pulau Pinang kekal di tangga kedua tercorot berbekalkan 21 mata.

Bagaimanapun, hanya TFC II tersingkir berikutan penarikan diri Kuantan FA pada awal musim ini.

KEPUTUSAN LAIN LIGA PERDANA 2018:

Felcra FC 2 Sarawak 0
Johor Darul Ta'zim (JDT) II 4 UKM FC 0
PDRM FA 3 Sabah 2
Pulau Pinang 1 Felda United 1