MISC-MIFA gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tumpas 3-2 kepada PDRM dalam saingan Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

MISC-MIFA turun dengan keadaan masih segar daripada kemenangan ke atas UiTM dalam perlawanan terakhir 14 April lalu sementara PDRM mahu menghambat kedudukan pasukan lawan itu dalam liga.

Bagaimanapun, pelawat yang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Sim Woon Sub seawal minit kelima menerusi percubaan dari luar kotak penalti.

Deretan peluang dipersiakan MISC-MIFA untuk menyamakan kedudukan selepas itu dan mereka terpaksa menanti sehingga minit ke-42 apabila Bae Beom Geun menjaringkan gol selepas berlaku kekalutan dalam kawasan penalti PDRM.

Bersambung babak kedua, PDRM tidak menunggu lama apabila kapten pasukan, Fauzi Abd Majid, melakukan kuisan bagi meletakkan PDRM mendahului 2-1 pada minit ke-53.

Enam minit menuju tamat perlawanan, Muhammad Baqiuddin Shamsuddin mudah menjadikan kedudukan 3-1 memihak PDRM selepas menyempurnakan hantaran Shahurain Abu Samah.

MISC-MIFA cuba bangkit pada minit ke-86 menerusi gol hasil rembatan K. Satish, namun ia tidak cukup untuk menghalang pasukan pelawat daripada meraih tiga mata berharga.

"Syukur di atas kemenangan ini, ia akan membantu kami untuk terus bersaing bagi merapatkan kedudukan dengan pasukan lain dalam saingan Liga Perdana. Sasaran seterusnya adalah untuk layak ke Piala Malaysia," kata Fauzi.

Sementara itu, pengurus MISC-MIFA, K. Rajendran, mengakui sikap terlalu yakin memakan diri dengan berkata: "MIFA kecewa dengan kekalahan ini. Sifat terlalu yakin apabila merakamkan kemenangan 4-0 ke atas UiTM telah mempengaruhi pemain-pemain hingga gagal untuk menyempurnakan perancangan kami."

Imej: Asiana