Hasrat Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengikut jejak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan tiga pasukan lain tidak kesampaian apabila permohonan mereka untuk mewujudkan pasukan sokongan ditolak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Seperti JDT, Terengganu, Selangor dan Perak, Kuala Lumpur juga enggan ketinggalan untuk mewujudkan pasukan sokongan.

Disember lalu, Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad, mengesahkan skuad warga kota itu akan mempunyai kelab sokongan yang akan bersaing dalam Liga M3.

Malah, difahamkan perancangan membentuk skuad yang mahu dinamakan Kuala Lumpur II itu sudah memasuki fasa pengambilan pemain muda negeri itu dan beberapa pemain senior ternama.

Namun, usaha KLFA terbantut susulan tidak memenuhi syarat permohonan yang ditetapkan MFL.

"Hasrat KLFA itu tidak boleh kami terima kerana pasukan dalam Liga M3 hadir daripada saingan Liga M4. Jadi, kalau nak terus masuk Liga M3, tidak boleh.

"Saya telah memaklumkan KLFA dan mereka faham, kini tiada lagi isu. Jadi, jika ada pasukan Liga Perdana memohon untuk kelab sokongan, ia tidak boleh dipertimbangkan buat masa ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ghani Hassan.

Untuk rekod, Selangor II dan Perak II tampil sebagai kelab sokongan terbaru dalam saingan Liga Malaysia 2020 selepas JDT II dan Terengganu FC II.



Editor: Nafis Abdullah