Liga Bolasepak Malaysia (MFL) enggan tertipu buat kali kedua apabila menegaskan permohonan Perlis untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia 2019 tipis selepas pasukan itu dibenarkan membuat rayuan mengikut perlembagaan badan tersebut.

Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam sebulat suara memutuskan untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan itu dicapai setelah Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) gagal membuktikan kemampuan untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Namun, wakil PFA hari ini mengemukakan rayuan kepada MFL agar keputusan itu ditarik balik untuk memastikan skuad Singa Utara boleh beraksi semula dalam Liga Perdana.

Tetapi Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, tampil memberikan penjelasan.

"Jawapan kepada rayuan itu tidak semestinya membenarkan mereka kembali beraksi dan sebagainya. Kami perlu meneliti semua aspek dan pastikan keputusan dibuat berdasarkan fakta," katanya.

PFA mempunyai tempoh tujuh hari bermula semalam untuk proses rayuan itu, dengan syarat mereka perlu membuktikan kesahihan terhadap dokumen kewangan persatuan.

"Ruang untuk rayuan itu amat sempit dan kami rasa jika satu rayuan diluluskan, ia perlu berdasarkan penyelesaian yang benar-benar kukuh dan baik untuk semua pihak," tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PFA, Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan, enggan mengulas lanjut mengenai desakan ramai pihak agar presiden, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, meletakkan jawatan.

Sebaliknya, beliau hanya fokus untuk menyelesaikan masalah yang dialami pemain Perlis dengan mengharapkan keajaiban berhubung rayuan hari ini.

"Kami hadir menemui MFL hari ini adalah untuk bertanya situasi sebenar dan atas khidmat nasihat yang kami peroleh, kami akan lihat apa yang terbaik buat pemain yang bersama Perlis ketika ini.

"Kami akan cuba cari kaedah terbaik untuk membantu mereka serta mengembalikan segala perkara kepada sesuatu yang positif," ujar Karim.