Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya sebulat suara memutuskan untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, dalam satu kenyataan hari ini, berkata keputusan itu dicapai setelah mereka mereka meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), kelmarin.

“Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA, termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka, tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Beliau berkata MFL telah memberikan bantuan dan ruang secukupnya untuk Perlis mengatasi masalah kewangan mereka sebelum mengambil keputusan untuk menyingkirkan pasukan Singa Utara itu daripada Liga Malaysia bagi mengelakkan kesan lebih buruk kepada pemain-pemain dan menjaga imej Liga Malaysia.

Susulan pembatalan Perlis dalam Liga Malaysia, Kevin berkata Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain-pemain Perlis dengan pasukan lain selama 30 hari bermula hari ini walaupun tempoh pendaftaran pemain pertama akan tamat tengah malam ini.

Sementara itu, Kevin memaklumkan MFL sedang mengkaji enam lagi pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji, namun mengambil tindakan drastik ke atas Perlis kerana isu melibatkan pasukan berkenaan adalah lebih berat sehingga mendapat perhatian ramai pihak.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL sedang menilai kes enam lagi pasukan itu dan akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat,” katanya lagi.



Untuk rekod, Perlis mendapat slot untuk menggantikan tempat MISC-MIFA dalam Liga Perdana 2019 selepas kelab yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC itu dinaikkan taraf ke Liga Super 2019 susulan penarikan diri Felcra FC.

Pemilihan Perlis dibuat selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka permohonan kepada pasukan berminat dan akhirnya mencadangkan tiga pasukan, iaitu Kuching FA, Angkatan Tentera Malaysia dan Perlis daripada Piala FAM untuk mengisi slot Liga Perdana berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan, termasuk aspek kewangan.

Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian memutuskan untuk memberi peluang kepada Perlis beraksi dalam Liga Perdana 2019 berdasarkan beberapa kriteria, iaitu kekuatan penyokong, masalah hutang dan perancangan kewangan.

PFA dan MFL telah membuat perjanjian bersama yang mana mereka diberikan tempoh 60 hari menyelesaikan masalah tunggakan gaji manakala MFL menyekat geran tahunan mereka 28 Disember lalu.

-- BERNAMA