Bekas pemain Sabah era 90-an, Jelius Ating, menyifatkan kejayaannya membimbing Sabah menjulang trofi Liga Perdana musim ini selaku ketua jurulatih adalah lebih manis berbanding sewaktu beraksi untuk negeri kelahirannya sebelum ini.

Anak jati Sabah itu, yang diberi jolokan 'The Iron Man' kerana kekentalannya mengemudi barisan pertahanan, mendedahkan kejayaan tersebut amat bermakna untuk dirinya memandangkan Sabah sudah lama tidak mengecapi sebarang trofi dalam saingan Liga Malaysia.

"Sudah 23 tahun kami menunggu untuk memenangi trofi, dan apabila meraih kejayaan selaku jurulatih, ia satu perkara bermakna bagi saya," katanya.

Sabah muncul juara Liga Perdana 2019 selepas mengalahkan UiTM FC 2-1 di Stadium Shah Alam malam tadi dan meraih 40 mata dengan berbaki tiga perlawanan.

Kejayaan manis berkenaan turut dibantu kekalahan 1-3 pencabar terdekat mereka, Johor Darul Ta'zim (JDT) II, kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kejayaan tersebut membolehkan Sabah naik ke saingan Liga Super 2020.Untuk rekod, kali terakhir Sabah beraksi dalam Liga Super 2012 menyaksikan mereka menduduki tangga ke-13.

Dalam aksi di Shah Alam malam tadi, UiTM FC berada di depan hasil jaringan Zarko Korac (m-30), sebelum Sabah bangkit menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti Rodoljub Paunovic (m-57) dan gol padang Aguinaldo Mendes Veiga (m-66).

Ditanya resipi kejayaan skuad Tambadau musim ini, Jelius yang membantu Sabah muncul juara Liga Perdana 1996 memaklumkan ia hasil usaha keras beliau dan barisan kejurulatihan dalam membentuk skuad yang mantap sejak dua tahun lalu.

Beliau dalam masa sama turut mendedahkan Sabah hanya mempunyai tiga pemain berusia lebih 30 tahun manakala selebihnya berusia 26 tahun ke bawah.

"Walaupun kami mempunyai ramai pemain muda, namun mereka turut membuktikan kemampuan masing-masing dan kami membentuk mereka dengan memberi satu motivasi terbaik, iaitu keputusan terbaik kepada mereka.

"Saya bukan bercakap mengenai kekananan tapi kualiti dan prestasi, ada pemain baru masuk dan dia ada kualiti, saya akan beri peluang kepada dia untuk beraksi dalam kesebelasan utama," tegas Jelius.

-- BERNAMA