Perubahan drastik, termasuk menggugurkan pemain yang gagal memberikan aksi diharapkan, akan diambil oleh Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) sekiranya mereka gagal mencatat keputusan baik dalam aksi Liga Perdana bertemu UKM FC di gelanggang sendiri, Sabtu ini.

Pemangku presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata perlawanan terakhir dalam pusingan pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, itu adalah peluang terakhir untuk Sabah membuktikan kemampuan sebenar.

"Jika masih gagal meraih kemenangan Sabtu ini, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan drastik, termasuk menggugurkan pemain yang gagal memberikan aksi di tahap yang diharapkan.

"Kami ada peluang untuk merombak pasukan sekiranya perlu apabila pintu perpindahan pemain dibuka bulan depan.

"Kami akan lakukan apa sahaja, termasuk membuat rombakan, bagi memastikan Sabah diwakili pasukan terbaik dengan sasaran utama kami musim ini adalah naik ke Liga Super musim depan.

"Kami masih di landasan baik untuk mengotakan sasaran itu dan tidak mahu ia terjejas," katanya ketika ditemui.

Peter memberi kata dua itu ekoran kemerosotan mendadak pasukan Tambadau itu apabila gagal menang dalam tiga perlawanan terakhir.

Beliau berkata dua kekalahan berturut-turut, iaitu 0-1 kepada Kelantan United FC (Piala FA) dan 1-2 kepada Selangor United (Liga Perdana) meleburkan rekod tanpa kalah mereka dalam enam perlawanan liga sebelum itu sangat mengecewakannya.

Skuad kendalian Jelius Ating itu juga gagal bangkit untuk menebus kekecewaan apabila hanya seri 1-1 dengan UiTM FC dalam saingan liga di Stadium Likas, Sabtu lalu.

"Kami kecewa dengan kemerosotan mendadak ini. Kami pernah melihat pasukan ini bermain dengan baik (dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini) tetapi apa yang kami saksikan Sabtu lalu amat mengecewakan.

"Kami boleh menang perlawanan itu dengan mudah. Ada tiga empat peluang keemasan tetapi dikecewakan oleh penyudah yang tumpul. Kemerosotan, terutama sentuhan penyudah, perlu diatasi dengan segera bagi memastikan sasaran kami ke Liga Super kekal relevan," katanya.

Peter berkata pengurusan telah berusaha yang terbaik, termasuk menjaga kebajikan pemain, justeru beliau berharap pemain juga dapat melaksanakan peranan mereka dengan baik.

Skuad Tambadau itu kini di kedudukan kedua dengan 15 mata selepas sembilan perlawanan dengan rekod empat menang, tiga seri dan dua kalah, untuk tiga mata mengekori pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Bagaimanapun, tiga pasukan di bawah mereka terus memberi tekanan yang menyaksikan UiTM FC dan Selangor United masing-masing telah mengumpul 14 mata manakala Terengganu FC II kini memiliki 12 mata.