Bekas penyerang Sabah dan kebangsaan, Matlan Marjan, berpendapat Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Aziz Jamman, adalah calon yang sesuai untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Bekas pemain yang pernah menjulang Piala FA bersama Sabah pada 1995 itu berkata dua individu yang turut dianggapnya mampu menggalas tugas sebagai timbalan presiden persatuan berkenaan ialah Hamid Apdal dan Alijus Sipil yang juga setiausaha agung SAFA.

"Saya menyokong penuh apa yang telah dilakukan SAFA bagi mengadakan pemilihan untuk mengisi jawatan yang ditinggalkan bekas presiden, Tan Sri Musa Aman, timbalannya, Datuk Lawrence, dan yang lain-lain.

"Saya menyeru kepada SAFA daerah supaya mencalonkan mereka yang sehaluan dengan kerajaan negeri bagi memudahkan perancangan serta hala tuju bola sepak Sabah supaya tidak terhenti separuh jalan," katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Selain itu, dia berkata demikian selepas mengambil contoh keadaan persatuan itu selepas peralihan kuasa kerajaan negeri yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

"Saya difahamkan peruntukan untuk bola sepak telah terhenti seketika disebabkan pengurusan lama terlalu bergantung kepada GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

"Sudah tiba masanya kita gerakkan persatuan ini dengan meneroka idea-idea baharu dalam pentadbiran SAFA," ujarnya.

Bagi Matlan, tiada gunanya pemilihan dibuat sekiranya muka-muka lama masih dipilih untuk menerajui persatuan berkenaan.

"Kita hargai sumbangan mereka (pemimpin-pemimpin lama SAFA) selama ini, tetapi sudah tiba masanya mereka berundur bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru," tambahnya.

SAFA baru-baru ini mengumumkan bakal mengadakan kongres tahunannya pada 11 Ogos ini bagi membolehkan pemilihan diadakan selepas beberapa jawatan penting persatuan berkenaan dikosongkan.