Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mat Zan Mat Aris, optimis untuk membawa skuad kendaliannya itu kembali ke kancah Liga Super musim depan walaupun masih belum melengkapkan kuota pemain import.

Skuad Rusa menamatkan kempen Liga Super 2018 di kedudukan tercorot, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa bersaing dalam Liga Perdana tahun ini.

Justeru, Mat Zan mengakui perlukan masa untuk memantapkan skuad Negeri Sembilan selepas menggunakan khidmat ramai pemain baru bagi musim 2019.

Kejayaan membawa Melaka United menjuarai Liga Perdana tiga tahun lalu dan melangkah ke Liga Super dijadikan pemangkin buat Mat Zan untuk terus memacu pasukan bimbingannya itu.

"Kebanyakan pasukan sedang membentuk skuad terbaik mereka.

"Terdapat banyak pasukan yang membariskan pemain muda.

"Kami tidak tahu kekuatan yang dimiliki mereka.

"Apa yang penting adalah kami memantapkan pasukan Negeri Sembilan dan saya berharap kami mampu pergi jauh dalam saingan musim ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menegaskan akan mempertahankan skuad bimbingannya itu dalam Liga Super dan bertekad ingin memperbaiki pencapaian musim lalu selepas menduduki tangga kesembilan.

"Seperti saranan daripada pihak tertinggi PKNP FC, kami mahu melakukan lebih baik berbanding musim lalu.

"Musim lalu, kami berada di tangga kesembilan Liga Super dan kami perlu memperbaikinya musim ini.

"Itu merupakan sasaran kami musim ini," ujar Abu Bakar.

Mat Zan dan Abu Bakar ditemui ketika majlis pelancaran Liga Malaysia 2019 dengan MFL melancarkan logo baru untuk musim ini.