Masa depan Felda United tetap terjamin biarpun masih ketiadaan pengerusi ekoran Tan Sri Shahrir Samad yang telah meletak jawatan selepas perubahan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Menurut jurulatih pasukan, B. Sathianathan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Felda bagi mendapatkan pencerahan terhadap masa depan Felda United.

Buat masa ini, Sathianathan mendapat jaminan Felda United kekal sebagai satu entiti penting setelah pelbagai perancangan dilakukan, termasuk mewujudkan Stadium Tun Abdul Razak di Jengka.

Malah, Felda langsung tidak berdepan sebarang masalah dana sehingga penghujung tahun ini bagi meneruskan kelangsungan cabaran Felda United dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Walaupun kita ada pengurusan baru yang akan dilantik, saya difahamkan bola sepak akan terus dikekalkan di Felda kerana ini adalah satu industri bola sepak. Felda United FC ini adalah satu anak syarikat daripada Felda," katanya.

Mengenai pemilihan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 14 Julai nanti, Sathianathan yang merupakan presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), menyatakan pendiriannya menyokong Datuk Hamidin Mohd Amin.

Antara asas PJM memberi sokongan kepada Hamidin ialah hanya beliau mampu meneruskan kesinambungan bekas presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Saya ingat orang yang menjadi presiden ini, biarlah orang yang tiada kena mengena dengan politik dan apa-apa.

"Dia harus terbuka, boleh berjumpa dengan menteri sukan dan mengikut program-program yang ditentukan atau dirancang Tunku Ismail," katanya lagi.