Ketua jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abd Wahid, menepis dakwaan satu demi satu pemainnya mula meninggalkan pasukan setelah bergelut dengan masalah gaji tertunggak.

Beberapa pemain pasukan Singa Utara itu dikhabarkan sudah mula dirisik pasukan lain.

Antaranya, Fakrullah Rozi yang dikatakan melakukan perbincangan dengan pasukan Liga M3, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC, dan penyerang, Safee Sali, yang turut dilihat bersama wakil pasukan Kelantan.

Bagaimanapun, Manzoor menyifatkan barisan pemainnya masih komited dengan pasukan, buktinya kesemua pemain masih menjalani latihan, termasuk Nasriq Baharom dan Khyril Muhaimeen Zambri yang tidak kelihatan ketika menentang UKM FC minggu lalu.

Muhammad Badhri Radzi pula masih berada di Kelantan untuk proses pemulihan.

"Saya dan pasukan akan kekal fokus seperti biasa untuk perlawanan kedua," kata Manzoor.

Baginya, keutamaan pasukan kini adalah untuk fokus kepada persaingan liga.

Perlis bakal berhadapan dengan UiTM, Jumaat ini, dan Manzoor tidak rela untuk pasukannya terus keciciran mata.

"Saya akan menyenaraikan kesebelasan terbaik untuk perlawanan ini dan berharap peningkatan dapat dipamerkan."