Ketua jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, enggan anak buahnya mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri berdepan Felcra dan UiTM FC malam ini dan 14 Julai depan berikutan kedudukan mereka dalam Liga Perdana kini ibarat telur di hujung tanduk.

Pulau Pinang, yang berada di tangga ke-10, kini dalam momentum terbaik selepas meraih kemenangan besar 3-1 ke atas PDRM FA, minggu lalu.

Bagaimanapun, kemenangan itu masih belum menjamin tahap kekuatan pasukannya sehingga ia terus dibuktikan dalam dua aksi selepas ini di laman sendiri.

"Amat penting untuk meningkatkan tahap keyakinan pemain.

"Kami terlalu terdesak untuk menang sehingga mengakhiri perlawanan sama ada seri atau kalah.

"Kemenangan ini telah memberi keyakinan lebih tinggi.

"Kami amat berazam untuk mengutip mata demi mata untuk keluar dari zon yang amat berbahaya," kata Zainal ketika ditemui dalam majlis rumah terbukanya Sabtu lalu sambil menyifatkan sambutan tahun ini diraikan sederhana dengan keutamaan memastikan skuad Harimau Kumbang kekal dalam saingan Liga Perdana, musim depan.

"Saya tidak menafikan bahawa pemain menampilkan aksi yang baik dalam beberapa perlawanan.

"Tetapi, saya sudah tekankan kepada pemain bahawa tidak kira seberapa buruk pun aksi kami, kemenangan adalah yang paling utama."