SABAH 1 KELANTAN 0

Hasrat Sabah untuk menghadiahkan kemenangan kepada penyokong mereka tercapai apabila membenam Kelantan 1-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.


Kemenangan itu juga menjadikan majlis penyampaian trofi Liga Perdana yang berlangsung di stadium berkenaan malam ini, lebih berseri.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan dilihat sedikit sukar menguasai bola berikutan keadaan padang licin akibat hujan lebat sepanjang permainan berlangsung.

Kelantan lebih dulu memiliki peluang pada minit ketujuh menerusi penyerang import mereka, L'Imam Seydi, namun percubaan yang berjaya melepasi penjaga gol tuan rumah, Rozaimie Rohim, itu berjaya dihalang Maffry Balang sebelum bola sempat bergolek masuk ke gawang.

Dua minit kemudian, Alto Linus melakukan rembatan kencang menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti, namun terus menuju ke dakapan penjaga gol Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh.

Pada minit ke-19, penyerang import Tambadau, Aguinaldo Mendes Veiga, melakukan larian pantas melepasi dua pertahanan lawan tetapi percubaannya selepas itu berjaya diselamatkan Fikri.

Satu lagi peluang Sabah untuk menghasilkan gol ialah pada minit ke-36 apabila bola hantaran lintang Alto terus menuju ke pintu gol dan hampir mengelirukan Fikri, namun dia sempat menepisnya keluar.

Bermula babak kedua, Tambadau menggandakan usaha mereka mencari gol dan berjaya mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-55 selepas Rodoljub Paunovic dikasari Mohd Farisham Ismail di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, sepakan Paunovic berjaya ditepis keluar oleh Fikri untuk sekadar memberikan sepakan sudut kepada Sabah.

Sepakan sudut yang diambil Ahmet Atayev itu kemudian menceriakan lebih 10,000 penyokong apabila bola gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol dan terus masuk ke dalam gawang bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan cuba mencari gol penyamaan dan hampir memperolehnya pada minit ke-61, namun dua percubaan berturut-turut mereka diselamatkan Rozaimie serta terkena palang.

The Red Warriors juga memiliki peluang terbaik pada minit ke-87 menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat yang hanya berdepan Rozaimi tetapi penjaga gol Sabah itu lebih cemerlang menyelamatkan keadaan dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.