Barisan pemain Terengganu melahirkan rasa kecewa gagal meraih kejuaraan Liga Perdana yang sepatutnya menjadi miliki mereka.

"Ketika kami sedang mendahului perlawanan 1-0, pemain-pemain sangat bersemangat. Tetapi dalam separuh masa kedua, mengetahui JDT II mendahului perlawanan, ia membuatkan setiap pemain terlalu selesa," kata kapten Terengganu, Lazaro Vinicius.

"Kami terlalu memikirkan mengenai keputusan pasukan lawan, kami gagal untuk memberikan tumpuan untuk perlawanan ini," kata Kipre Tchetche.

Tchetche membuka jaringan buat Terengganu dalam perlawanan berdepan PKNP, bagaimanapun gagal mengekalkan rentak permainan dalam babak kedua sehingga pasukan lawan berjaya mengambil peluang untuk meledak tiga jaringan, sekaligus menyaksikan Terengganu terlepas peluang menjuarai Liga Perdana menerusi perbezaan jaringan.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menegaskan pemain-pemainnya telah berusaha untuk mengejar kejuaraan Liga Perdana musim ini, namun beliau menerima keputusan itu.

"Walaupun pada pusingan pertama saingan liga musim ini pasukan Terengganu agak
ketinggalan, kami bangkit mengejar saingan dengan kehadiran beberapa pemain-pemain.
Bagaimanapun, kami akur dengan keputusan ini untuk terus menjadi lebih baik pada musim
depan," kata Irfan.

Tatkala Terengganu meratapi kesudahan di tangga kedua, kem PKNP pula bergembira dengan tiga mata yang diperoleh untuk menutup saingan divisyen dua itu di tempat ketiga.

Ia juga satu kemenangan yang cukup bermakna dilakar di laman sendiri memandangkan ini adalah perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak kerana selepas ini, ia akan ditutup bagi menjalani proses menaik taraf sebagai persediaan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

"Walaupun kami adalah kelab yang sederhana, semangat yang dimiliki oleh pasukan
adalah suatu perkara yang sangat baik untuk pasukan ini," kata jurulatih PKNP, Abu Bakar
Fadzim.