Rekod tanpa kalah bukan menjadi keutamaan Felcra FC, sebaliknya berhasrat mahu memastikan slot Liga Super 2019 tidak terlepas daripada genggaman mereka setelah berjaya mempamerkan rentak konsisten dalam pusingan pertama Liga Perdana.

Felcra muncul satu-satunya pasukan yang masih kekal dengan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Malaysia selepas Felda dikejutkan 3-0 oleh MISC-MIFA, Sabtu lalu.

Situasi itu ternyata membuka peluang buat Felcra dalam mengintai peluang merapatkan jurang dengan Felda bagi memburu mahkota kejuaraan Liga Perdana.

Jurulatihnya, Tarcisio Pugliese, bagaimanapun tidak melihat impian mahu mencipta rekod itu sebagai sesuatu yang mustahak, tambahan 10 perlawanan masih perlu diharungi.

"Kami tidak memikirkan mengenai itu (rekod tanpa kalah) biarpun ia sesuatu yang positif tetapi kami tidak memikirkan untuk menghabiskan saingan liga dengan rekod itu atau sebaliknya. Fokus kami hanya untuk perlawanan seterusnya.

"Saya sedar jika rekod itu berkekalan, ia baik untuk pasukan, namun perkara itu bukan objektif kami. Malah, ia memberi motivasi tambahan buat lawan kami. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami hanya fikirkan aksi seterusnya kerana kesemua baki perlawanan liga amat sukar," katanya.

Pugliese dalam masa sama meluahkan rasa bimbang terhadap kebangkitan beberapa pasukan yang sebelum ini tidak mencabar pada awal saingan.

Antaranya PDRM yang kini mampu naik sehingga ke tangga ketiga selain masih berwaspada dengan cabaran Sabah dan Sarawak.

"Sesetengah pasukan yang tidak memulakan saingan liga dengan baik seperti PDRM, kini sudah mula memberi cabaran. Malah, saya melihat aksi terakhir mereka menentang Terengganu, pasukan PDRM beraksi baik dengan mereka mempunyai pemain berkaliber.

"Sememangnya sukar untuk menjangkakan apa yang akan berlaku, justeru fokus saya hanya kepada pasukan dan aksi seterusnya."