Lanjutkan pengajian syarat sertai UiTM FC 

Oleh Staff Writer 1 Disember 2017 6709
Lanjutkan pengajian syarat sertai UiTM FC 
Sebagai kelab daripada institusi pengajian tinggi (IPT), UiTM FC mengambil pendekatan unik dengan mewajibkan pemain tempatan atau import baru pasukan itu perlu mengambil sebarang pengajian sama ada di peringkat sijil atau diploma di universiti terbabit. 

Ketika pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga M) bertungkus-lumus cuba mendapatkan pemain terbaik, UiTM ternyata mengambil pendirian berbeza. 

Walaupun diperkuatkan dengan beberapa pemain profesional tempatan serta import, jurulatihnya, Wan Mustaffa Wan Ismail, menjelaskan mereka bergelar mahasiswa. 

Ia juga menjadi syarat utama pengambilan beberapa muka baru tempatan untuk musim depan yang mewajibkan mereka menyambung pelajaran jika mahu mahu beraksi bersama UiTM. 

"Kami menyediakan kursus khas dalam jurusan sains sukan dan pengurusan dalam bola sepak. Malah, pemain import juga tidak terkecuali apabila akan terlibat dengan pusat bahasa. Mungkin mereka boleh berkongsi kepakaran bahasa ibunda mereka, antaranya bahasa Perancis," kata Wan Mustaffa. 

Musim depan, hanya Dechi Marcel N'Guessan dikekalkan sebagai tonggak import selepas melepaskan Akanni Sunday Wasiu dan Do Dong-hyun ke pasukan lain manakala Onorionde Kughegbe digugurkan. 

"Kami mengekalkan Marcel sebagai tonggak tengah dan sedang berunding untuk mendapatkan seorang pemain pertahanan dari Cameroon. 

"Paling penting, kami perlu mencari pengganti Dong-hyun dan Akanni Sunday yang menyumbang 30 gol musim lalu," katanya.

UiTM berlepas ke China, Ahad lalu untuk menyertai Terbuka Yunnan sebagai persediaan musim baru nanti.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen