Pemain import Felcra FC, David Laly, melaungkan amaran pasukannya bertekad menjadi penghalang kepada penguasaan Felda United dalam saingan Liga Perdana apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Felcra dilihat satu-satunya pasukan yang masih berpotensi mencabar kejuaraan Liga Perdana walaupun ketinggalan jauh di belakang Felda United selaku pendahulu.

Ia menyaksikan mereka kini dipisahkan dengan jurang perbezaan 11 mata, namun kurang dua perlawanan untuk menduduki tangga ketiga ketika MISC-MIFA membuat kejutan berada di tangga kedua.

Enggan memastikan skuad Felda bermimpi awal menjulang kejuaraan, Laly selaku tonggak utama Felcra bertekad melunaskan misi tiga mata penuh dalam pertemuan di Stadium Shah Alam itu nanti.

Pemain berusia 26 tahun dari Indonesia itu merekodkan tiga gol dan satu bantuan gol dalam 11 penampilannya dalam Liga Perdana musim ini.

Felcra berjaya mengikat Felda United 1-1 dalam pertemuan pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, bulan lalu, namun mereka tumpas 5-2 kepada lawan yang sama dalam aksi Piala FA pada Mac.