KRW pikat pemain berstatus bintang untuk Kelantan

Oleh Farizal Yusoff 10 Februari 2019 9168
KRW pikat pemain berstatus bintang untuk Kelantan
Ketua Pegawai Eksekutif, Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (KRW), Fazli Mohammad, mengesahkan akan membawa masuk tiga pemain bintang untuk beraksi bersama Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sebelum jendela perpindahan pemain ditutup 20 Februari ini.

Berita gembira itu dianggap bonus berganda selepas KRW juga mengumumkan langkah syarikat itu untuk menyelesaikan semua hutang lapuk Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sejak 2014 lagi.

"Saya ingin maklumkan KRW sedang berusaha untuk membawa masuk dua atau tiga pemain 'bintang' beraksi bersama Kelantan, musim ini.

"Biarlah nama dan posisi pemain itu dirahsiakan kerana kami telah memasuki rundingan peringlat akhir. 

"Tunggu sehingga 20 Februari depan, iaitu tarikh akhir perpindahan pemain untuk fasa pertama," katanya kepada media selepas menyaksikan pertemuan Kelantan menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

Fazli berkata bagi mendapatkan khidmat pemain yang bertaraf bintang, pihaknya akan melakukan struktur kewangan baru bagi mengelakkan masalah hutang.

"Biasanya, untuk mendapatkan pemain berkualiti, kami memerlukan satu peruntukan yang besar. Namun, kami yakin pemain ini akan menyertai Kelantan selepas ada penaja baru yang tampil menyatakan minat untuk bersama KRW.

"Daripada segi kewangan (peruntukan), saya tidak boleh dedahkan kerana ia melibatkan syarikat yang perlu dihormati," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Fazli meluahkan kekagumannya terhadap sambutan penyokong Kelantan terhadap skuad The Red Warriors (TRW) musim ini.

"Anda (media) boleh tengok kehadiran penyokong malam ini (kelmarin) sebagai pemain ke-12. Lebih 12,000 yang hadir dan saya cukup teruja," katanya.

 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen