Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Marko Kraljevic, mengingatkan benteng pertahanannya supaya tidak mengulangi kesilapan sama dengan mudah membenarkan jentera serangan lawan menghasilkan jaringan dalam aksi ketiga menentang UKM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Biarpun jentera serangan Kelantan sudah menunjukkan reaksi positif dengan tiga jaringan setakat ini, kerapuhan di benteng pertahanan jelas menjadi kebimbangan pengendali kelahiran Croatia itu untuk memburu kemenangan pertama.

"Saya fikir benteng pertahanan kami perlu fokus dan tidak melakukan sebarang kesilapan mudah. Jika itu berlaku, kami mampu menjaringkan gol untuk memburu kemenangan pertama dan balik dengan tiga mata.

"Semua pemain cukup bersemangat dan bersedia memberikan aksi lebih baik untuk menumpaskan UKM di gelanggang mereka," katanya.

Kraljevic, yang juga bekas pengendali Balestier Khalsa FC dalam Liga Singapura, mengakui sudah mengkaji strategi permainan skuad UKM kendalian Sulaiman Hussin.

"Malah, kami menonton video aksi UKM untuk melihat kekuatan dan kelemahan mereka bagi digunakan dalam strategi Kelantan.

"Saya jangkakan aksi sukar malam ini kerana UKM memiliki gabungan pemain import dan tempatan yang baik. Kami wajib mencari kemenangan pertama dan mereka (UKM) sudah pasti tidak mahu kalah di gelanggang sendiri.

"Satu permainan yang menarik untuk ditonton," tambahnya.

Untuk rekod, Kelantan berada di tangga kesembilan Liga Perdana dengan satu mata daripada dua perlawanan manakala The Varsity Boys di tangga keenam dengan tiga mata.