Pengendali UiTM, Ismail Zakaria, lega import keempat pasukannya, Zarko Korac, akhinya bakal menyarung jersi untuk aksi menentang Negeri Sembilan selepas dibelenggu masalah visa.

Masalah visa melambatkan proses kemasukan Korac ke Malaysia sehingga dia terlepas persiapan pra-musim dan dua aksi Liga Perdana.

Korac, yang pernah bergandingan dengan Ismail ketika beraksi untuk Kuantan FA, menjadi aset jentera serangan UiTM.

Kepincangan sentuhan penyudah UiTM ketika berdepan Perlis, Jumaat lalu, menjadi faktor kekalahan mereka dan berharap kehadiran Korac mampu menjadi tonik pasukan.

"Salinan tiket penerbangan Korac kini saya telah dapat dan Korac bakal sampai hari ini. Dia akan mula menjalani latihan esok dan kehadirannya akan membantu pasukan dalam aksi liga yang seterusnya," kata Ismail.

UiTM, dalam pada itu, menjadi pasukan kedua musim ini selepas Negeri Sembilan yang melafazkan ikrar bebas rasuah di bawah inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dewan Kompleks Sukan UiTM, hari ini.