Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tetap akan menubuhkan satu pasukan yang boleh dianggap sebagai pelapis pasukan utama walaupun perancangan asal mahu mewujudkan pasukan sokongan ditolak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ia sebagai pelan jangka panjang untuk kepentingan skuad utama dengan syarat ia perlu mendapat kelulusan MFL.

Mengikut perancangan yang sedia ada, kelab KL Rovers akan dijadikan tumpuan untuk memperkuatkan barisan pemain agar lebih bersedia untuk bersaing di pentas M3.

"Kami bercadang untuk menubuhkan satu kelab bagi memperkembangkan lagi mutu pemain sedia ada selepas kurang diberikan pendedahan dan waktu beraksi," kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.

Tegasnya, ia bersesuaian dengan objektif persatuan untuk memastikan skuad Kuala Lumpur mampu muncul juara musim ini, sekali gus menempah tiket ke Liga Super bagi musim 2021.

"Kuala Lumpur perlu memberikan yang terbaik untuk ke Liga Super. Ia adalah sasaran muncul juara di sebalik berhadapan cabaran yang sengit daripada pesaing lain."

Penyediaan untuk kelab KL Rovers menekankan gabungan pemain berpengalaman dan pemain baru bagi menjamin keseimbangan pasukan itu dalam setiap aksi bagi musim 2020.



Editor: Ammar Hakim