Helmi Remeli melahirkan rasa gembira selepas muncul wira skuad Warga Kota apabila menjaringkan gol kemenangan ke atas Kuantan FA, untuk menamatkan kemarau kemenangan Kuala Lumpur dalam empat perlawanan Liga Perdana.

Ini merupakan gol pertama pemain kelahiran Kedah itu bersama Kuala Lumpur (KL) musim ini.

Kemenangan yang dicari-cari itu, yang muncul pada minit-minit akhir permainan untuk keputusan 2-1, pastinya melegakan penyokong The City Boys yang dahagakan kemenangan selepas mereka tewas dua perlawanan berturut-turut.

Pada usia 32 tahun, kudratnya masih ditagih pengendali KL, Wanderley Junior, dalam mengemudi kubu pertahanan.

"Syukur Alhamdulillah kerana pemain-pemain telah memberikan aksi 110 peratus.

"Apa yang penting, kami tidak boleh kalah ketika bermain di laman sendiri," ujarnya sejurus tamat perlawanan di Selayang.

Turut lega dengan kemenangan malam tadi adalah penolong jurulatih KL, Rusdi Suparman, apabila berkata, "Pada malam ini, KL sekali lagi ketinggalan 1-0.

"Tetapi dengan tekad dan semangat pemain-pemain, mereka dapat membuktikan mereka adalah terbaik malam ini.

Ketua jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria, kecewa dengan kelekaan pemainnya yang menyebabkan mereka tersungkur buat kali keempat musim ini.

"Mereka hilang konsentrasi dan kawalan di kawasan lawan sehingga dihukum," katanya.