Ketiadaan Rawilson bukan masalah besar -- Jelius

Oleh Willie Jude 18 Jun 2019 1875
Ketiadaan Rawilson bukan masalah besar -- Jelius
Sabah bakal kehilangan khidmat pertahanan kental yang juga kapten, Rawilson Batuil, yang digantung dua perlawanan akibat mengutip jumlah enam kad kuning. 

Pemain itu akan terlepas aksi bertemu PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam esok, dan juga bertemu Sarawak di Stadium Likas, minggu depan.

Bagaimanapun, pengendali skuad Tambadau, Jelius Ating, menganggap ketiadaan Rawilson atau lebih dikenali sebagai 'Jipun' itu bukanlah satu masalah besar kerana yakin pemain lain mampu melaksanakan tugas pemain pertahanan tengah itu.

"Kami masih memiliki pemain berpengalaman, Maffry Balang, yang akan menggantikan tempat Jipun. Bagi saya, dia juga seorang pertahanan yang baik dan setanding dengan Jipun.

"Maffry juga pernah beberapa kali beraksi dalam kesebelasan utama, sama ada bergandingan dengan Jipun mahupun Park (Taesu). Kami harapkan dia dapat melaksanakan tugas dengan baik malam esok," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius turut berharap rekod tanpa bolos sejak saingan liga memasuki pusingan kedua akan 
dikekalkan, seterusnya mencatat keputusan baik bagi memastikan mereka terus di landasan betul untuk mencapai sasaran layak ke Liga Super, musim depan.

"Saya harap pemain akan kembali memperagakan aksi terbaik mereka sebelum ini selepas beraksi di bawah tahap sebenar ketika menewaskan Negeri Sembilan di Likas, minggu lalu. 

"Kami harus terus fokus kerana belum bergelar juara. Kalau sudah bergelar juara itu lain ceritalah, saya harap momentum baik kami dapat diteruskan agar kami dapat mengumpul seberapa banyak mata yang boleh," katanya.

Sementara itu, Jelius mungkin akan membuat sedikit perubahan terhadap kesebelasan utamanya.

"Selain Maffry yang akan bermain menggantikan Jipun, kami juga akan menurunkan semula Randy (Samson Baruh) yang telah pulih daripada sakit perut.

"Kami juga akan memantau keadaan Azzizan (Nordin) yang sebelum ini mengalami kecederaan dan jika dia masih belum cergas, kami memiliki Ricco (Nigel Milus) untuk menggantikannya," katanya.

 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen