Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata pengadil adalah punca mereka tewas kepada Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana di Stadium Batu Kawan, kelmarin.

"Saya bukanlah orang yang suka memberi komen pasal pengadil tetapi selepas perlawanan itu (bertemu Pulau Pinang), saya terpaksa melakukannya.

"Saya sangat tidak puas hati dan marah, terlalu banyak keputusan yang tidak menyebelahi kami pada malam itu," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

Beliau berkat, Sabah sepatutnya diberikan sepakan penalti dalam dua kekasaran berasingan di dalam kotak penalti lawan, termasuk terjahan dari belakang terhadap Hector Omar Ramos yang berkeadaan satu lawan satu dengan penjaga gol.

"Hector dalam keadaan baik untuk menjaringkan gol, namun diterjah dari belakang dan ia satu keputusan yang mustahil dilakukan pengadil. Sebelum itu, kami melakukan serangan balas dan pengadil berada di kedudukan jauh dari kotak penalti...tapi kenapa penjaga garisan tidak nampak?," soalnya.

Dalam pada itu, Jelius turut berasakan pasukannya juga perlu bertanggungjawab dengan kekalahan itu kerana gagal beraksi dengan baik sehingga tamat permainan.

"Separuh masa pertama, kami bermain dengan baik tetapi dalam babak kedua, ia berbeza. Nampaknya pemain kami tidak dapat mengekalkan rentak sehingga 90 minit perlawanan, tahap kecergasan mereka jatuh dan menjejaskan rentak kami," katanya.

Sabah akan meneruskan saingan liga bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDTII) di Stadium Likas, Kota Kinabalu.