Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) memutuskan semua keputusan membabitkan perlawanan Kuantan FA dibatalkan selepas pasukan itu digugurkan penyertaannya daripada Liga Perdana, Jumaat lalu.

Ini bermakna jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan yang telah berlangsung membabitkan pasukan itu tidak akan dikira.

"Jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan akan dikira sebagai kosong (0). Kuantan FA telah bermain daripada perlawanan LP1 sehingga LP7.

"Pasukan yang telah bertemu Kuantan FA ini adalah pasukan Sarawak, MIFA, UiTM FC, UKM FC, Felda United FC, Pulau Pinang dan PDRM," kata kenyataan pentadbir liga bola sepak negara itu, hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu menjelaskan kesalahan Organisasi Teknikal Pertandingan (OTP), perkara tatatertib termasuk pengumpulan kad kuning dan perintah keluar padang atau kad merah adalah dikekalkan dan berkuatkuasa seperti biasa.

"Pasukan Kuantan FA akan dikeluarkan daripada senarai jadual perlawanan serta kedudukan liga. Ini bermakna, hanya 11 pasukan yang akan bertanding sehingga penghujung musim 2018."