Jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria, mempunyai alasan tersendiri memilih UiTM FC bagi musim 2019 walaupun pasukan dari institusi pengajian tinggi itu bukanlah nama besar dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Ismail turut memperoleh tawaran daripada pasukan Liga Super, namun menolak kerana mahukan pengalaman berbeza bersama UiTM.

Antaranya adalah sokongan sains sukan yang banyak membantu dalam menganalisis prestasi setiap pemain.

Menurutnya, bukan populariti yang dicarinya walaupun sedar adalah lebih gah jika dia memimpin pasukan negeri.

"Kami di sini mempunyai ramai pakar dalam bidang sains sukan.

"Matlamat utama saya adalah untuk melihat kombinasi pengalaman saya dan kepakaran itu membuahkan hasil.

"Di sini juga terdapat bakat-bakat yang baik untuk diketengahkan dalam bola sepak negara.

"Mungkin dalam musim 2020, pasukan ini akan layak ke Liga Super," katanya.

Mengenai persiapan pasukan, Ismail mendedahkan UiTM akan menggunakan 100 peratus pemain tempatan dalam kalangan pelajar selain empat tenaga import bagi musim 2019.

Justeru, tiada ruang buat mana-mana pemain luar untuk mengintai tempat dalam pasukannya.

"Saya sudah tandatangani perjanjian bersama pihak pengurusan bahawa saya akan menggunakan sepenuhnya pelajar-pelajar di peringkat universiti.

"Saya tidak memerlukan pemain luar kerana pelajar-pelajar ini mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk bersaing," katanya lagi.