Pengurus pasukan bola sepak Sarawak, Hamzah Brahim, menyifatkan kemenangan 2-0 yang dilakar ke atas pasukan Pulau Pinang tepat pada masanya ketika barisan pemain memerlukan suntikan semangat untuk menghadapi kancah Liga Perdana 2019 yang baru memasuki perlawanan kedua itu.

Beliau berkata setelah memulakan kempen liga dengan kekalahan tipis 1-2 di tangan Negeri Sembilan pada 2 Februari lalu, hasil keputusan yang dicapai dalam perlawanan hari ini amat positif dan sangat ditagih oleh pemain dan barisan kejurulatihan.

“Kemenangan di laman sendiri pada hari ini saya rasa ia lebih untuk melonjakkan motivasi pemain dan memberi keyakinan kepada pasukan untuk meneruskan aksi cemerlang dalam perlawanan akan datang.

“Kami dapat mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diatasi segera dan pujian juga harus diberikan kepada semua pemain yang berjaya melaksanakan tugas dengan baik hari ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching, skuad Harimau Kumbang pulang hampa selepas mudah dijinakkan skuad Ngap Sayot hasil dua jaringan ayam tambatan mereka, Bobby Gonzales, pada minit ke-63 dan 84.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad Pulau Pinang, Ahmad Yusoff, berkata kealpaan dalam separuh masa kedua menghukum barisan pemainnya yang mengakibatkan mereka bolos dua jaringan.

“Beraksi di tempat lawan ini kami kena kekal fokus. Tetapi dalam separuh masa kedua, saya lihat pemain banyak hilang fokus dan membuat kesilapan yang tidak sepatutnya.

“Bagaimanapun, dalam perlawanan berikutnya, kami akan bangkit dan memburu tiga mata ketika menentang PDRM minggu depan,” katanya.

Selepas dua perlawanan, skuad Harimau Kumbang itu menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata manakala juara Liga Perdana 2013, Sarawak, melonjak ke tangga keempat liga dengan tiga mata. -- Bernama

Keputusan lain:

PDRM 1 NEGERI SEMBILAN 1

JDT II 2 UKM FC 1