Kemenangan pertama yang diraih Kelantan selepas menewaskan UKM FC 1-0 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi, membakar semangat pemain untuk meneruskan momentum kemenangan dalam aksi seterusnya.

Penolong jurulatih Kelantan, Kamaruddin Muhammad, mengakui kemenangan sulung selepas tiga perlawanan itu jelas menyuntik kembali semangat pemain setelah tewas 0-1 kepada Selangor United dan seri 3-3 menentang Sabah dalam dua aksi terdahulu.

"Saya bersyukur kepada Allah di atas kemenangan ini dan walaupun kami kekurangan pemain selepas lima pemain utama beraksi dalam Kejohanan Bawah 22 Tahun AFF, kami masih lagi dapat memberikan persembahan terbaik.

"Kemenangan pertama ini adalah satu azimat untuk pasukan menghadapi perlawanan selepas ini, namun saya akui kami perlu pertajamkan jentera serangan yang kelihatan agak lemah dalam perlawanan ini," kata Kamaruddin.

Pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior, muncul wira skuad The Red Warriors apabila menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung perlawanan untuk mengesahkan tiga mata pertama pasukan berkenaan.

Pengadil, Mohd Shahrizan Mohamad Solihim, memberikan sepakan penalti itu selepas pemain Kelantan, Raul Andres Lemos, dikasari penjaga gol UKM FC, Khatul Anuar Md Jalil, dalam kotak penalti.

Sementara itu, ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Husin, mempersoalkan tindakan Mohd Shahrizan memberikan sepakan penalti berkenaan.

"Saya menyeru kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membawa pengadil yang lebih berkualiti. Bagaimanapun, kami akan memberi fokus kepada perlawanan selepas ini," jelasnya dengan nada kecewa.

Kemenangan itu menyaksikan Kelantan naik lima anak tangga ke kedudukan keenam dengan kutipan empat mata manakala UKM FC turun satu anak tangga ke kedudukan kesembilan dengan tiga mata selepas tiga perlawanan.

-- BERNAMA