Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mungkin terlepas daripada hukuman mandatori digantung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila badan induk itu bersikap positif dalam menangani kemelut yang melanda persatuan itu ketika ini.

PFA tampak mencemarkan imej bola sepak negara, khususnya Liga Malaysia (Liga-M), selepas mencetuskan polemik isu gaji.

Persatuan itu gagal melunaskan tunggakan gaji pemain selama dua bulan tatkala mereka juga gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji lama.

PFA turut gagal membuktikan kemampuan mereka menguruskan pasukan untuk bersaing dalam Liga-M musim ini, sekali gus dibatalkan penyertaan.

Hukuman penggantungan adalah hukuman paling tepat untuk memberikan pengajaran, namun FAM kelihatan enggan berbuat demikian.

"Kami tidak mahu membunuh bola sepak di Perlis.

"FAM sebagai badan induk bola sepak negara mahu bekerjasama dengan Perlis untuk keluar daripada kecelaruan seperti yang dilaporkan pada masa ini," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Beliau menambah: "Kami berharap kami boleh membantu Perlis.

"Tentang isu geran, ia perlu ditanyakan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana ia tidak terletak di tangan FAM.

"Apa yang berada di tangan FAM adalah seperti keputusan yang dikeluarkan sebelum ini di mana kami akan memastikan wang yang berada dengan FAM akan tetap digunakan untuk menyelesaikan tunggakan gaji dari 2018 ke belakang."