Pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin, menyifatkan kekalahan tipis 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam, berpunca daripada kelonggaran jentera tengah dan serangan pasukan itu.

Selain mengakui rentak pasukannya terjejas selepas rehat dua minggu, harapan yang diletakkan kepada awang import, Michael Chukwubunna Ijezie, gagal dilunaskan dengan baik hingga memaksa mereka berputih mata.

Walaupun dihidangkan beberapa peluang, Sulaiman berkata skuad bimbingannya kalah dengan semangat ditunjukkan pasukan lawan yang diakuinya berhak memenangi perlawanan itu.

"Pasukan ini terlalu bergantung kepada penyerang import tetapi lambat mendapat bantuan daripada jentera tengah," jelasnya.

Sulaiman turut enggan mengulas keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Muhammad Aliff Jamaluddin (m-71) serta kegagalan memberikan sepakan penalti pada minit ke-89 akibat kekasaran ke atas Ijezie oleh penjaga gol lawan.

Kekalahan itu seperti menambah garam di luka UKM, namun persembahan ditampilkan mereka masih boleh diperbaiki untuk baki saingan Liga Perdana musim ini.

"Memang kehadiran kami ke Kuala Terengganu untuk mendapatkan satu mata tetapi TFC II lebih berhak untuk menang.

"UKM tidak bernasib baik dan saya harap pemain-pemain segera fokus untuk perlawanan akan datang," tambah bekas pemain Kuala Lumpur itu lagi.