FELDA UNITED 3 SARAWAK 2

Felda United meneruskan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana musim ini selepas menewaskan Sarawak 3-2 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, malam tadi.


Beraksi di laman sendiri, skuad The Fighters itu memulakan asakan sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan.

Bagaimanapun, kerancakan permainan Felda dikejutkan dengan serangan balas Sarawak sehingga membolehkan skuad Bujang Senang itu membuka tirai jaringan menerusi penyerang, Bobby Gonzales, pada minit ke-21.

Tersentak dengan pendahuluan lawan, anak-anak buah B. Sathianathan itu cuba memperkemaskan permainan tetapi jentera serangan yang diketuai Thiago Augusto Fernandes tetap gagal menembusi benteng lawan.

Tatkala aksi babak pertama bakal berakhir 1-0, gol penyamaan yang dicari-cari tuan rumah akhirnya tiba apabila Iain Ramsay bijak membuka ruang buat Thiago sebelum pemain berusia 27 tahun itu tenang menyudahkan peluang untuk mengikat kedudukan 1-1.

Selepas rehat, Felda jelas menunjukkan nafsu untuk mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini apabila giliran kapten, Shukor Adan, menjadikan kedudukan 2-1 selepas menerima hantaran Thiago pada minit ke-67.

Ketika permainan berbaki 10 minit, Bobby kembali menghidupkan harapan pelawat untuk mengejutkan Felda, apabila menjaringkan gol kedua bagi mengikat keputusan 2-2.

Selepas itu, Thiago muncul watak pemusnah kepada Sarawak apabila menjaringkan gol kemenangan buat Felda pada minit ke-87 selepas sekali lagi menyudahkan bola lorongan Ramsay, yang membolehkan rekod kebal mereka musim ini terus kekal selepas lapan perlawanan.

Felda kini di puncak liga dengan 20 mata manakala Felcra FC dan Sarawak berkongsi 14 mata untuk berada di tangga kedua dan ketiga.