Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria, tidak resah walaupun tonggak import pasukan itu, Zarko Korac, masih lagi belum tiba di Malaysia untuk menyertai skuad The Lions Troop.

Korac menjadi pilihan Ismail bagi melengkapkan kuota import pasukannya memandangkan pemain itu mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Perdana bersama Kuantan FA pada musim 2018.

Pemain kelahiran Montenegro itu sepatutnya tiba di Malaysia, Khamis lalu, namun sedikit isu membabitkan visa menyaksikan dia hanya dapat menyertai rakan sepasukannya Khamis ini dan kemungkinan terlepas peluang beraksi menentang Perlis pada Jumaat.

Begitupun, Ismail percaya kelewatan Korac menyertai pasukan tidak menjejaskan momentum pasukannya selepas memperoleh kemenangan ke atas PDRM dalam aksi pembuka tirai sebelum ini.

"Saya telah mendapat maklumat bahawa Korac dijangka sampai di Malaysia pada Khamis ini," katanya.

Sementara itu, Ismail tidak mahu skuad kendaliannya mengambil mudah kemampuan Perlis walaupun lawan mereka itu berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

Perlis memulakan kempen Liga Perdana dengan langkah kiri selepas kecundang 1-2 kepada UKM FC di Cheras, Ahad lalu.

Malah, timbul spekulasi beberapa pemain akan meninggalkan pasukan dari Utara itu berikutan kegagalan pengurusan pasukan untuk melunaskan tunggakan gaji mereka.

"Saya tidak mengetahui sebarang maklumat mengenai Perlis tetapi kami sentiasa membuat persiapan dan mahu mengulangi momentum itu untuk perlawanan kedua," katanya lagi.