Kelantan, UiTM kongsi mata di Kota Bharu

Oleh Farizal Yusoff 14 Jun 2019 1735
Kelantan, UiTM kongsi mata di Kota Bharu
KELANTAN 0 UITM FC 0

Kelantan masih kempunan memburu kemenangan kedua di gelanggang sendiri apabila terikat 0-0 dengan UiTM FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.


The Red Warriors (TRW) membawa masuk penyerang import pinjaman kelahiran Perancis daripada Batu Dua FC, Seydi L'Imam, untuk membentuk gandingan bersama Nik Azli Nik Alias.

TRW memulakan permainan tetapi UiTM hampir mendapatkan gol pertama melalui tandukan kencang kapten yang juga penjaring terbanyak liga, Zarko Korac, di dalam kotak penalti, namun tersasar pada minit kelapan.

Setengah jam permainan, Kelantan melalui satu serangan balas cantik hampir di depan, namun sepakan kencang pemain tengah, Mohamad Khairul Asyraf Ramli, yang mendapat umpanan cantik Nik Akif Syahiran Nik Mat tetapi berjaya ditepis penjaga gol The Lion Troops, Muhamad Nor Haziq Mohd Aris. 

Bersambung babak kedua, UiTM FC meningkatkan serangan ke kubu tuan rumah dan pemain pertahanan, Syed Arif Syed Mohammad Uzir, hampir menjaringkan gol pertama pasukan pelawat, namun bola sepakannya tersasar pada minit ke-63.

Lapan minit kemudian, Imam melepaskan peluang terbaik untuk menjaringkan gol dalam penampilan pertama bersama Kelantan apabila tolakannya di dalam kawasan penalti UiTM melambung tinggi biarpun Muhamad Nor Haziq sudah tertewas. 

Minit ke-85 menyaksikan pengendali Kelantan, Yusri Che Lah, membawa masuk penyerang muda, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, menggantikan Nik Azli untuk meningkatkan tekanan ke atas pertahanan UiTM yang diketuai Benard Coulibally Agele.

Nik Akif hampir menjadi wira tuan rumah, namun sepakan percumanya pada minit akhir permainan terus ke dakapan penjaga gol, Muhamad Nor Haziq.

Keputusan seri  malam ini menyaksikan TRW terus berada di tangga tercorot liga dengan 10 mata manakala UiTM FC kekal bersaing di puncak dengan 27 mata.

Keputusan lain:

Liga Perdana
JOHOR DARUL TA'ZIM II 5 TERENGGANU FC II 0

Liga Super
FELDA UNITED 5 PKNS FC 4
KEDAH 0 PAHANG 0
PJ CITY FC 0 PERAK 1
PKNP FC 1 JOHOR DARUL TA'ZIM 1

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen