Kelantan tumbang di Kota Bharu

Oleh Farizal Yusoff 11 Mei 2018 9723
Kelantan tumbang di Kota Bharu
KELANTAN 1 PKNP FC 2

Harapan Kelantan mencari kemenangan kedua berturut-turut lebur apabila kalah 1-2 kepada PKNP FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini. 


Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Fajer Ibrahim, melakukan sedikit rombakan terhadap skuad yang mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Kuala Lumpur, minggu lalu.

PKNP memulakan permainan tetapi TRW hampir di depan melalui tandukan pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat, hasil lambungan cantik Mohd Azwan Mohd Ariffin, malangnya tersasar pada minit keempat.

Muhammad Danial Ashraf Abdullah pula jelas gugup di depan gawang PKNP yang dikawal Ahmad Asyraaf Omar apabila memilih merembat melepasi palang pada minit ke-14.

Kelantan mendapat sepakan sudut yang diambil Mohammad Imran Samso pada minit akhir separuh masa pertama mencari Nik Akif, namun rembatannya tersasar untuk kedua-dua pasukan berpuas hati terikat 0-0.

Pada babak kedua, ketua pasukan PKNP, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi melencongkan bola hasil sepakan percuma, namun terkena tiang tatkala penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh, sudah tertewas pada minit ke-48.

PKNP mengejutkan penyokong tuan rumah melalui rembatan kencang Mohamad Hafiz Ramdan yang menerima lambungan cantik Muhammad Fadhil Idris untuk menewaskan Mohammad Fikri pada minit ke-61.

Pada minit ke-66, Clovis Franklin Anzite-Touadere hampir menggandakan kedudukan PKNP tetapi sepakannya sedikit melewati palang.

Melalui satu serangan balas, Mohammad Imran Samso menggembirakan penyokong tuan rumah apabila sepakan lencongnya menewaskan Ahmad Asyraaf pada minit ke-74.

Begitupun, kesilapan penjaga gol, Mohammad Fikri, yang teragak-agak keluar untuk menangkap bola dihukum penyerang, Shahrel Fikri, untuk gol kemenangan PKNP pada minit ke-84.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen