Kelantan positif bahawa masa depan mereka dalam Liga Perdana musim ini masih terjamin dan sedang berusaha untuk menyelesaikan hutang membabitkan bekas pemain tempatan dan import mereka.

Skuad The Red Warriors itu dikatakan berhutang dengan dua bekas bintang utama, Khairul Fahmi Che Mat dan Badhri Radzi.

Barisan pemimpin baru Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), yang diterajui Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, mendedahkan pada Ogos lalu bahawa persatuan itu memiliki tunggakan hutang berjumlah RM6.2 juta.

Pasukan yang diuruskan oleh TRW Sdn. Bhd. itu mendedahkan tindakan proaktif dan rundingan dengan pihak terlibat sedang giat dijalankan dan masalah itu tidak mengganggu mereka untuk memburu tiket ke Liga Super 2021.

"Sudah pasti ramai yang sudah tahu bahawa Kelantan sememangnya mempunyai banyak masalah dan hutang-hutang," kata pengurus, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari.

"Tapi Alhamdulillah, dengan persiapan yang kami lakukan, dengan masalah hutang yang saya sendiri uruskan, hampir (semua gaji) pemain senior sudah dibayar secara ansuran.

"Saya berterima kasih kepada mereka (pemain) kerana memahami keadaan di Kelantan.

"Untuk perancangan pasukan, kami sudah melakukan satu perubahan yang besar dengan fokus kepada pemain-pemain muda.

"TRW dan KAFA bersedia untuk mencari jalan dan mencari duit bagi menyelesaikan hutang-hutang," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa