Kelantan kekal dalam Liga Perdana

Oleh Farizal Yusoff 20 Julai 2019 21049
Kelantan kekal dalam Liga Perdana
KELANTAN 2 UKM FC 0

Misi Kelantan untuk kekal dalam Liga Perdana musim depan tercapai apabila menewaskan UKM FC 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.


UKM FC memulakan permainan tetapi The Red Warriors (TRW) hampir mendapatkan gol pertama melalui sepakan lambung pemain tengah, Mohammad Imran Samso, namun tersasar biarpun penjaga gol lawan, Khatul Anuar Md Jalil, sudah tertewas pada minit ke-19.

Skuad The Varsity Boys melancarkan serangan balas dan gerakan solo penyerang import, Mateo Roskam hampir memberikan jaringan pendahuluan tetapi sepakan leretnya tersasar pada minit ke-28.

Pemain tengah, Mohammad Amirul Syafik Che Soh, merembat kencang hasil kekalutan dalam kotak penalti UKM FC, namun terus ke dakapan Khatul Anuar pada minit ke-32.

Bersambung babak kedua,  Kelantan mendapatkan gol pendahuluan apabila gerakan solo penyerang import, Seydi L'Imam, berjaya menewaskan tiga pertahanan UKM FC, melakukan hantaran cantik yang disudahkan penyerang muda, Nik Azli Nik Alias, pada minit ke-58.

Minit ke-67, pertahanan kiri TRW, Mohamad Azwan Aripin, hampir menggandakan jaringan tuan rumah, namun sepakan percumanya ditepis keluar penjaga gol, Khatul Anuar.

Pengendali TRW, Yusri Che Lah kemudian terpaksa mengeluarkan L'lmam akibat kecederaan dan memasukkan Muhammad Danial Ashraf Abdullah untuk menguatkan jentera serangan.

Lima minit terakhir, skuad pelawat kendalian Sulaiman Hussin itu terus menyerang mencari gol penyamaan, namun segala gerakan melalui Roskam berjaya dipatahkan benteng TRW yang diketuai kapten, Mohd Farisham Ismail.

Nik Akif Syahiran Nik Mat memastikan Kelantan kekal beraksi dalam Liga Perdana musim depan apabila berjaya menyudahkan hantaran cantik Mohamad Amirul Shafik pada minit ke-90.

Keputusan lain:

PDRM 1 PULAU PINANG 2

SARAWAK 3 SELANGOR UNITED 2

UITM 1 NEGERI SEMBILAN 2

TERENGGANU II 2 SABAH 1



Kredit Foto: Kelantan FA
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen