KELANTAN 1 JDT II 1

Kelantan memberikan aksi terbaik untuk mengikat pendahulu Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), 1-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, petang tadi.


Kerosakan lampu limpah stadium berkenaan memaksa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengarahkan perlawanan yang sepatutnya berlangsung sebelah malam itu dimainkan pada jam 5.30 petang.

Kelantan kembali menurunkan Mohd Azwan Aripin untuk membentuk gandingan mantap bersama kapten, Farisham Ismail, bagi mengekang kerakusan jentera serangan Harimau Selatan yang diketuai Mohammed Ghaddar.

Skuad kendalian Ervin Boban itu pula turun ke Kota Bharu dengan semangat yang hebat selepas membelasah Terengganu FC II (TFC II) di Pasir Gudang, minggu lalu.

Beraksi dalam hujan lebat, Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk menjaringkanan gol pembukaan apabila penyerang import kelahiran Lubnan, Ghaddar, menyempurnakan sepakan penalti pada minit keenam.

Bersambung babak kedua,pertahanan kiri, Mohd Azwan, merembat kencang dari jarak 35 meter untuk menewaskan penjaga gol JDT II, Muhammad Haziq Nadzli, hasil satu serangan balas pantas bagi menjaringkan gol penyamaan tuan rumah pada minit ke-57.

Tersentak dengan gol penyamaan Kelantan, jentera serangan JDT II kembali mengganas dan Ghaddar hampir menggandakan kedudukan, namun gerakan solonya disekat penjaga gawang TRW, Abdul Arif Abdullah, pada minit ke-63.

Penyerang muda Kelantan, Nik Azli Nik Alias, hampir menjadi wira tuan rumah, namun sepakan kencangnya terkena palang gol biarpun Muhammad Haziq sudah tertewas pada minit ke-70.

Keputusan 1-1 itu memberikan sedikit kelegaan buat Kelantan selepas dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA,) Bibi Ramjani Ilias Khan, hari ini.

KEPUTUSAN LAIN:

NEGERI SEMBILAN 3 SELANGOR UNITED 0


Kredit Foto: Johor Southern Tigers