Selepas berjaya mengekalkan pertahanan kental dari Brazil, Cassio de Jesus, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan mereka mengikat bekas pemain tengah Negeri Sembilan, Flavio Beck Junior, selama setahun bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M), musim ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata Junior dipilih berdasarkan pengalaman yang dimiliki selain mempunyai kebolehan mengemudi barisan tengah The Red Warriors (TRW).

"Dia (Junior) telah hadir menjalani ujian pemilihan dan diturunkan semasa aksi persahabatan menentang Terengganu FC dan Kedah.

"Selain bertindak sebagai pemain tengah, bekas permain Borneo FC itu juga boleh digunakan sebagai penyerang," katanya.

Sementara itu, Junior berjanji akan memberikan aksi terbaik bagi membantu TRW mengharungi saingan Liga Perdana yang semakin mencabar.

"Saya yakin melalui semangat sepasukan dan motivasi yang tinggi, kami mampu menjadi sebuah pasukan yang baik.

"Saya akan menggunakan sepenuh pengalaman yang dimiliki untuk membantu kejayaan TRW musim ini," katanya.

Kredit imej: Kelantan FA