Walaupun tidak menjaringkan gol, pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap puas hati dengan persembahan yang ditunjukkan penyerang import, Rodoljub Paunovic, dalam aksi bertemu UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.

Jelius berkata kehadiran pemain dari Serbia itu ternyata memberi impak kepada Sabah, khususnya di bahagian serangan.

"Paunovic sangat bekerja keras di atas padang dan membuka ruang untuk rakan sepasukannya menghasilkan gol.

"Memang kehadiran dia (Paunovic) beri impak kepada pasukan kerana sebelum ini kami menghadapi masalah penyudah sehingga gagal menang dalam tujuh perlawanan berturut-turut dan malam tadi, kami menang dengan tiga gol," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Paunovic yang menjaringkan sembilan gol ketika beraksi separuh musim bersama Sabah tahun lalu, membuat penampilan pertamanya bersama pasukan itu musim ini, malam tadi.

Dalam aksi berkenaan, Sabah akhirnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan mereka apabila mudah membenam UiTM FC 3-0 di Stadium UiTM Shah Alam hasil dua jaringan dalam babak pertama menerusi Francis Kasonde dan Sabri Sahar serta jaringan Hector Omar Ramos dalam separuh masa kedua.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah kekal di kedudukan kelima liga dengan 18 mata hasil daripada empat kemenangan, enam seri dan empat kekalahan.