Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, berkata kehadiran Kelantan United (KUFC) dalam Liga Perdana musim hadapan sebagai sesuatu yang positif kepada kemajuan bola sepak Kelantan.

Beliau berkata penyokong bola sepak negeri ini tidak seharusnya melihat kehadiran KUFC sebagai musuh tidak baik kepada pasukannya.

"Ia satu saingan yang cukup baik terutama daripada segi kejohanan dan kebaikan kepada rakyat Kelantan sendiri, khususya kepada pemain muda kerana mereka mempunyai dua pasukan untuk diangkat dan bermain di peringkat yang tinggi.

"Saya berharap kedua-dua pasukan tidak menjadi musuh yang tidak baik Pada pandangan saya ia cukup berguna kepada bola sepak Kelantan untuk menaikkan semula imej bola sepak negeri ini," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, jurulatih kelahiran Perlis itu berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Melaka United, Mohd Nazrin Mohd Nawi, bagi memperkuatkan pasukan itu.

"Saya hanya mengemukakan cadangan senarai pemain, jika saya berminat namun Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak mampu tidak boleh juga, ia tertakluk kepada dana persatuan," katanya.


-- BERNAMA